Sedapnya jika dapat berbuka puasa dengan Air Bandung Laici Cincau sejuk. Terasa segar setelah seharian berpuasa. Maklumlah bila tiba waktu berbuka puasa, aneka minuman sejuk tentunya jadi pilihan ramai lebih-lebih lagi jika cuaca panas seharian. Bagi anda yang teringin nak buat minuman ni, resipi perkongsian Ben Safwan antara yang menarik perhatian dan nampak membuka selera. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
AIR BANDUNG LAICI CINCAU SEDAP KAW KAW
BAHAN-BAHAN:
1 tin laici
1 tin susu cair
1 tin susu pekat manis
3 sudu makan kacang tanah tumbuk
3 1/2 sudu makan sirap cap rose
1 sudu makan biji selasih
5-6 biji kurma merah
50-60gm cincau hitam
CARA MEMBUAT:
1. Rendam kurma merah dan biji selasih hingga kembang.
IKLAN
2. Ambil cincau dan sagat. Ketepikan.
3. Masukkan susu pekat manis, susu cair dan sirap ke dalam bekas. Kacau sebati.
4. Tambahkan semua bahan-bahan lain. Air laici dalam tin pun masukkan sekali. Tambah ais.
IKLAN
5. Kacau sebati dan sedia untuk dinikmati masa berbuka.
INFO:
IKLAN
1. Tak perlu tambah air masak. Hanya guna air laici dan ais yang mencair. Jika suka air soda, boleh tambah ikut cita rasa.
2. Sukatan campuran air ini untuk 2 jug seperti dalam gambar. Jika perlu, boleh bahagi dua bahan-bahan di atas.
3. Tip untuk dapatkan potongan cincau yang cantik ialah, sagat guna penyagat lubang besar. Hasilnya memang cantik.
Jika anda suka minum susu kurma, pati kurma homemade ni pasti memudahkan anda bersahur. Campur dengan susu dan ia boleh terus boleh minum. Nampak simple tetapi minuman ni boleh buat perut anda rasa kenyang dan mampu bertahan sampai waktu berbuka. Nak cuba resipi perkongsian saudari Nadiah Latfi ni? Jom tengok cara-cara penghasilannya.
CARA BUAT PATI KURMA HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
Buah kurma
CARA MEMBUAT:
1. Buang biji dan basuh buah kurma. Toskan airnya.
2. Kukus buah kurma tadi selama 20 minit.
3. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga hancur.
4. Masukkan kisaran kurma tadi di dalam bekas dan boleh disimpan dalam peti sejuk supaya tahan lama.
5. Untuk menikmati susu kurma semasa sahur, campur 2 sudu makan pati kurma bersama susu. Kacau sebati. Boleh juga campur madu, badam, kismis dan sebagainya.
Cuaca panas begini memang sedap dapat air tembikai lemon laici. Wah, dengar nama menu air pun dah terbayang sedapnya lalu di tekak. Apatah lagi saat menikmatinya.
Kali ini, Ben Safwan berkongsi resipi untuk menyediakan Air Tembikai Lemon Laici yang sedap ini. Tambahkan pula ketulan ais. Minum sejuk-sejuk. Fuh! Memang meredakan suasana dan cuaca yang panas ni.
Bahan-bahan penyediaan pun mudah sahaja. Jom kita buat. Boleh juga buat untuk dihidangkan pada tetamu yang datang.
Masukkan tembikai yang telah dipotong kulitnya ke dalam pengisar.
Campurkan air lemon sekali ketika mengisar.
Kemudian, tapiskan untuk buang sedikit hampas atau buihnya. Lebih kurang 1/3 hampasnya perlu dibuang untuk mengelakkan jus tersebut daripada pekat bersalut.
Setelah itu, tambahkan air laici tin dan bolehlah letakkan ketulan ais.
Tak perlu tambah gula kerana air dan buah ini sudah cukup manis.
Nikmati kesegaran jus dan minuman sejuk yang enak untuk meredakan rasa dahaga. Pastinya jika disediakan sendiri di rumah lebih jimat dan menepati cita rasa keluarga.
1. BANDUNG STRAWBERI LAICI
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan gula
2 sudu makan sirap
5 sudu makan susu cair
1 biji strawberi ] dibelah 4
5 biji laici dalam tin
Air secukupnya
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Larutkan gula dalam air.
2.Masukkan sirap dan susu cair. Kacau sebati.
3.Masukkan strawberi dan laici.
4.Tambahkan air dan ais. Sedia diminum.
INFO: Masam strawberi membantu mengurangkan muak sirap bandung
2. SODA SERAI BERMADU
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan madu
1 cawan soda
1 batang serai (diketuk)
CARA MEMBUAT:
1.Letakkan madu di keliling dinding gelas.
2.Masukkan soda.
3.Masukkan serai. Biarkan seketika.
4.Letakkan ais (jika suka). Sedia untuk diminum.
Info Chef: Harum serai memberikan rasa segar pada minuman.
3. AIR KATIRA
BAHAN-BAHAN:
1 sudu makan sirap hijau
2 helai daun pandan
1 liter air
1 tin susu cair
250 ml soda
Sedikit katira ] getah anggur
Sedikit sagu
1 sudu makan cendol
1 sudu makan cincau
1 sudu makan gajus
1 sudu makan badam
1 sudu makan kacang tanah ] digoreng
1 sudu makan kurma
3 biji buah kabung
1 sudu makan kismis
1 csudu teh biji selasih
Sedikit buah semangkuk
Gula batu secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Jerang sirap hijau, gula batu dan daun pandan dalam 1 liter air.
2.Kemudian masukkan semua bahan. Biarkan 30 minit supaya semua bahan sebati.
3.Sejukkan dalam peti sejuk atau tambah ais. Sedia diminum.
INFO CHEF: Selain gula batu, boleh juga gunakan gula pasir.
4. JUS MANGGA PUDINA
BAHAN-BAHAN:
2 biji mangga
2 sudu besar yogurt
2 gelas air
1 biji limau kasturi
Sedikit daun pudina
CARA MEMBUAT:
1.Kupas mangga dan hiris buahnya. Kisar mangga dan yogurt bersama 2 gelas air.
2.Tuangkan jus mangga ke dalam gelas.
3.Hiris limau kasturi dan masukkan ke dalam gelas.
4.Tambah air gula jika suka.
5.Masukkan ais dan letakkan daun pudina.
INFO: Mangga harumanis lebih sedap digunakan kerana rasanya yang sedap dan baunya pula harum.
5. PEPPERMINT LEMONADE
BAHAN-BAHAN:
4 sudu makan gula
Secubit garam
3 tangkai pudina
500ml air
2 biji lemon ] di perah jus dan tapis
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Masukkan gula, garam dan pudina ke dalam bekas. Isikan air. Kacau sehingga gula larut dan daun pudina agak hancur.
2.Masukkan jus lemon.
3.Tambahkan ais. Siap untuk diminum.
INFO CHEF: Renyuk-renyukkan daun pudina untuk lebih membangkitkan aroma mint dalam minuman.
6. JUS STRAWBERI LAICI
BAHAN-BAHAN:
5 biji strawberi
1 cawan air
4 sudu makan gula
5 biji laici
Air secukupnya
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Kisar halus strawberi dengan 1 cawan air dan gula.
2.Masukkan jus yang telah dikisar ke dalam cawan.
3.Tambah air jika perlu.
4.Masukkan laici dan ais. Kacau sekejap. Sedia diminum.
INFO CHEF: Selain laici, boleh gunakan buah manis lain seperti ceri, mangga atau rambutan.
7. AIR KELAUT
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan gula
2 gelas air
1 sudu teh pewarna biru
50gm tembikai ] potong dadu
1/2 biji epal hijau ] potong dadu
1/2 biji belimbing ] potong dadu
1/2 biji oren ] dipotong dadu
2 keping nanas dalam tin
1 sudu makan biji selasih ] direndam
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Masukkan gula ke dalam air dan kacau sehingga larut. Masukkan pewarna.
2.Masukkan semua buah yang dipotong dadu, nanas dan biji selasih. Kacau sebati.
3.Masukkan ais. Sedia diminum.
INFO CHEF: Boleh pelbagaikan buah-buahan mengikut kegemaran anda.
8. JUS LIMAU ASAM BOI
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan gula
3 biji asam boi
3 biji limau kasturi
Air secukupnya
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Buat air gula dalam periuk kecil. Ketepikan.
2.Rebus asam boi dalam sedikit air. Ketepikan.
3.Belah dua limau kasturi. Kisar bersama secawan air dengan kulitnya. Tapis.
4.Masukkan air yang telah ditapis dalam cawan.
5.Masukkan air gula, asam boi dan ais. Sedia diminum.
INFO: Jangan guna air rebusan asam boi dalam minum. Bimbang jika terlalu masam.
9. CINCAU MILO TABUR
BAHAN-BAHAN:
4 sudu makan serbuk Milo
3 sudu makan susu pekat manis
1/2 cawan air panas
1/2 cawan air sejuk
3 sudu makan cincau
Ais secukupnya
3 sudu makan Milo ] untuk tabur
CARA MEMBUAT:
1.Masukkan Milo, susu pekat manis dan air panas. Kacau sehingga larut.
2.Tambah air sejuk. Kacau lagi.
3.Masukkan cincau. Biarkan 30 minit supaya rasa cincau sebati dengan rasa Milo.
4.Tambahkan ais. Sedia diminum.
INFO: Tidak perlu masukkan gula kerana Milo sudah sedia manis.
10. SIRAP LONGAN MASAM MANIS
BAHAN-BAHAN:
2 sudu makan gula
1 sudu makan sirap
2 gelas air
6 biji longan dalam tin
1 biji lemon
Ais secukupnya
CARA MEMBUAT:
1.Larutkan gula di dalam air.
2.Masukkan sirap. Kacau sebati.
3.Masukkan longan.
4.Belah 2 lemon. Sebelah diperahkan ke dalam sirap. Sebelah lagi hiris untuk hiasan.
5.Tambah ais. Sedia diminum.
INFO CHEF: Buat sendiri sirap menggunakan gula, pewarna merah dan daun pandan lebih menyedapkan minuman anda.